Saturday, July 3, 2010

KURMA

Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.







FAKTA MENARIK TENTANG KURMA :

KESIHATAN

a. Mencegah Penyakit Kronik Seperti Jantung & Kencing Manis
Berdasarkan kajian Prof Madya Asiah Zain, pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan “Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah”. (Berita Harian, Selasa, 20 Februari, 2001)

b. Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan
Prof Madya Asiah juga berkata, buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang kesihatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga tambahan.

c. Membunuh Kuman Dalam Badan
Saidina Ali r.a. meriwayatkan “Barang siapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”.

KECERDASAN & KECERGASAN

a.Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbersaran
Menurut Prof Madya Asiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

b.Tenaga Segera
Maksud Firman Allah swt dalam surah Maryam: Ayat 25-26.
“Dan goyanglah pangkal pohon kurma tu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu.”

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.
Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah swt menyuruh Saidatina Maryam(Mary) memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa (Jesus Christ) a.s. dan sentiasa bertenaga setelah melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.

KEPERIBADIAN

a. Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran
Maksud hadis Rasulullah s.a.w. : “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.” :)

“Melentur buluh biar dari rebungnya.” Ini tidak bermaksud kita hanya akan mendidik anak kita semasa mereka masih kecil tetapi Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadis ini dalam majalah Mingguan Wanita.

KEBERKATAN

a. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya: “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma.” Inilah yang dinamakan Tahnik atau meletakkan manisan pada mulut bayi.

b. Makanan Yang Paling Sempurna
Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. : “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”
Dengan sebab itulah Prof Madya Asiah menyatakan lagi ” pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian.”

Sumber : Blog Usahawan HPA

No comments:

Post a Comment