Monday, June 13, 2011

Umat digalak perbanyak ibadah sunat sebagai persediaan hadapi Ramadan



KEDATANGAN Syaaban memberi petanda kita semakin hampir untuk bertemu Ramadan al-Mubarak, bulan Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya.
Sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan apakah amalan yang disunatkan Rasulullah pada Syaaban? Sebenarnya pada bulan ini Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.
Aisyah berkata:
“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Selain amalan berpuasa, tiada hadis sahih menunjukkan Baginda SAW mengkhususkan amalan tertentu sempena Syaaban. Namun, amalan sunah lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat, berzikir dan berdoa.
Mengenai hikmah Rasulullah SAW meningkatkan amalan puasa pada Syaaban, Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas dalam Fath al-Bari: “Hikmah lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada Syaaban adalah seperti yang disebutkan hadis dengan darjat lebih sahih daripada hadis terdahulu.
Hadis diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasaai)
Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Syaaban dengan menggandakan ibadat puasa. Namun, ada beberapa perkara sering diperdebatkan mengenai puasa pada Syaaban iaitu adakah dibolehkan berpuasa pada keseluruhan Syaaban dan larangan berpuasa selepas pertengahan bulan ini.
Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan berpuasa sepanjang Syaaban. Sebahagian pendapat mengatakan kadangkala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban dan ada kalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar Syaaban saja.
Sebahagian lain berpendapat Baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan lain menurut kalendar hijrah kecuali Ramadan al-Mubarak. Manakala Baginda hanya berpuasa sebahagian besar hari pada Syaaban. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis Nabi SAW yang menunjukkan Baginda pernah berpuasa sepanjang Syaaban dan ada pula yang menidakkannya.
Daripada Abu Salamah, Aisyah berkata: “Nabi SAW tidak berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding Syaaban. Sesungguhnya Baginda berpuasa sebulan penuh.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bagaimanapun, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis daripada Aisyah yang menurutnya Nabi SAW hanya berpuasa sepanjang bulan pada Ramadan.
Bagi menghilangkan percanggahan yang timbul, Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh Syaaban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.
Tambahnya lagi: “Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar daripada sesuatu bulan, maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan seseorang itu solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”
Selanjutnya berkaitan perbezaan pendapat ini, Al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan: “Tetapi, jelas sekali pendapat ini (boleh berpuasa sebulan penuh ketika Syaaban) seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu Baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada Syaaban.
Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi: “Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan.”
Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tanggapan dilarang berpuasa pada Syaaban selepas memasuki hari ke 15 bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika memasuki pertengahan Syaaban, janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sebenarnya tidak wujud percanggahan antara hadis melarang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban dan hadis yang membenarkannya. Jumhur ulama membolehkan berpuasa pada Syaaban diteruskan walaupun selepas pertengahan bulan.
Jelas di sini Nabi SAW berpuasa pada sebahagian besar Syaaban. Justeru, marilah kita hidupkan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah puasa.